Followers

::PTPTN belum turunkan kos pentadbiran::

| Thursday, September 23, 2010 | |
SUMBER:UTUSAN MALAYSIA(FORUM)

BARU-BARU ini Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memaklumkan kaedah potongan gaji melalui Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) akan dikuatkuasakan bagi mengutip bayaran pinjaman pelajar. Saya terpanggil untuk memberikan pandangan kepada pihak PTPTN.

Saya lihat pihak PTPTN cuba mencari alternatif bagi membuat kutipan bagi memastikan dana yang digunakan peminjam akan datang tidak kehabisan.

Usaha ini boleh dilaksanakan, namum pihak PTPTN janganlah hanya melihat tanggung jawab peminjam sahaja. Pihak PTPTN juga harus melihat tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh kerajaan kepada mereka.

Misalnya, pihak PTPTN masih belum melaksanakan penurunan kos pentadbiran daripada tiga peratus kepada satu peratus seperti mana yang diuar-uarkan oleh kerajaan.

Hal ini menunjukkan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan kerajaan yang mesra rakyat selaras dengan moto 'Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' tidak diterjemahkan oleh PTPTN.

Saya sendiri sudah menghubungi PTPTN sebanyak tiga kali, termasuk kali terakhir pada 15 April 2010 bertanyakan tarikh penguatkuasaan kadar kos pengurusan satu peratus serta surat perjanjian baru.

Namun jawapan yang diberikan masih sama iaitu surat perjanjian baru akan dihantar dalam sedikit masa lagi dan kadar baru akan dikira berdasarkan tarikh yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi.

Seingat saya sewaktu pengumuman dibuat, hanya peminjam yang menandatangani surat persetujuan yang baru sahaja akan menikmati kadar satu peratus.

Saya telah membuat pembayaran setiap bulan melalui online, namun sehingga kini masih belum menerima apa-apa notis mahupun surat berkaitan pengurangan kadar caj daripada tiga peratus kepada satu peratus.

Adakah pihak PTPTN dan kerajaan telah lupa kepada janji-janji yang telah dibuat dan disiarkan oleh seluruh media cetak dan elektronik?

Sesuatu yang pelik dan bermain di fikiran saya mengapa begitu lambat dan tidak agresif sekali tindakan susulan yang dibuat oleh pihak PTPTN terhadap polisi baru yang diumumkan oleh kerajaan.

Sekiranya terdapat masalah pengurusan, saya mencadangkan agar pengurusan PTPTN bukan sahaja diuruskan oleh golongan profesional tetapi individu yang benar-benar berdedikasi kepada tugas, hatta bijak membuat unjuran masa dengan secara tepat dan proaktif.

Kalau saya tidak silap telah lebih setahun pengumuman kadar satu peratus dibuat oleh kerajaan namun belum nampak tindakan PTPTN.

Sudahlah semasa meminjam (belajar) tempoh kemasukan duit pinjaman kerap kali lambat, sesudah menamatkan pengajian masalah lain pula yang menimpa.

M.ZAM

Kuala Lumpur

2 comments:

Trackback by maslinamansor September 23, 2010 at 8:52 PM said...

padat isi M.ZAM...

Trackback by Nur Hawa Mohd Zin September 24, 2010 at 6:52 PM said...

good luck dalila

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...