Followers

::MEMBINA KERAJINAN DALAM DIRI ANAK-ANAK::

| Saturday, August 14, 2010 | |
“Rajinnya anak awak. Basuh baju sendiri , gosok baju, menyapu, dan tolong memasak. Kalau anak dara saya tu, jangan harap. Kalau disuruh buat, merungut dan membentak-bentak. Kita nak dia pandai buat kerja, semuanya dia tak berminat”.

“Alhamdulillah, anak-anak saya ni dah diajar dai kecil. Harap-harap rajinnya itu sampai ke besar,” jawab Puan Hamidah. Anak-anak lelaki dan perempuannya boleh dikatakan rajin dan ringan tulang.

Hati ibu bapa mana yang tidak gembira apabila orang lain memuji kerajinan anak-anaknya. Rajin adalah sifat terpuji dalam Islam. Dalam apa sahaja kerja, seseorang dituntut rajin berusaha. Rasulullah SAW pernah menjelaskan keutamaan rajin ini antaranya menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sungguh, jika seseorang mencari seikat kayu dan memikul sendiri diatas punggungnya lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang lain, diberi atau ditolak.” (Muttafaq ‘alaih)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Daud a.s, makan daripada hasil karya tangannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Banyak lagi ungkapan yang menunjukkan betapa sifat rajin sangat ditekankan dalam Islam.Sifat inilah yang kita hendak terapkan keoada anak-anak sejak kecil. Kita berharap semoga apabila mereka membesar dan dewasa, sifat rajin akan mendarah daging dalam segala urusan dan bidang. Bak kata pepatah, “Hendak meluntur buluh biarlah daripada rebung.”

Sifat rajin terdiri daripada dua iaitu semula jadi dan rajin melalui latihan. Seseorang anak dikatakan memiliki sifat rajin semula jadi mungkin mewarisi daripada ibu atau ayahnya. Dia tidak perlu disuruh kerana dia sudah memiliki sifat rajin.

Namun golongan sebegini tidak ramai berbanding dengan mereka yang perlu dilatih supaya rajin. Oleh sebab itu, kita ingin focus kepada rajin yang perlu dilatih ini.

Mengapa Perlu Rajin?

1. Perintah Allah SWT

Terangkan kepada anak-anak bahawa sifat rajin adalah perintah Allah SWT sebagai seorang Muslim, kita mestilah rajin sama ada dalam ibadah khusus atau umum. Misalnya rajin mengerjakan solat, rajin bersedekah, rajin belajar, rajin menolong orang dan sebagainya.

Aturkan jadual hidup anak-anak. Apabila bangun awal pagi ajak anak-anak bersuci, berwuduk dan menunaikan solat. Seawall usia mumaiyiz, mereka sudah boleh diajak solat bersama-sama sekalipun tidak tahu bacaan dalam solat. Selesai solat, anak-anak dibimbing tentang bagaimana mengemaskan tempat tidur mereka sendiri, belajar melipat kain selimut, menepuk-nepuk bantal dan menerikkan cadar bawah tilam. Biarlah pada mulanya tidak kemas namun mereka mesti tahu tanggungjawab mereka selepas bangun tidur.

Begitu juga dengan pakaian sekolah atau pakaian harian yang telah kotor. Mereka tidak boleh membiarkannya bersepahsepah dilantai, kemudian diserahkan urusan kepada ibu atau pembantu rumah memungutnya setiap hari. Apakah berat kerjanya untuk mrngumpulkan baju-baju kotor ke dalam bakul?

2. Banyak manfaat kepada diri dan orang lain

Orang yang rajin hakikatnya mendapat manfaat daripada kerajinannya. Dia akan terbiasa, tidak selesa jika melihat sesuatu tidak disempurnakan. Derianya sentiasa peka jika ada sesuatu yang tidak senang di mata. Misalnya apabila melihat rumah berselerak, dia akan segera mengemas. Jika di sekeliling rumah telah “subur” rumput-rumput yang panjang, dia akan mencari masa memotongnya.

Tiada orang yang tidak suka berkawan dengan orang yang rajin. Orang yang rajin umpama bunga yang wangi. Secara tidak langsung, dia akan member wangian (manfaat) kepada orang lain. Katakanlah antara anak-anak, ada seorang sahaja yang rajin. Ini amat menyenangkan hati ibu bapanya, “Nasib baik ada seorang anak lelaki saya ni. Jika tidak, banyak kerja di rumah tertangguh.”

Jika antara anak-anak terdapat seorang yang bersifat malas, cukuplah ia memberi banyak kepayahan seisi rumah. Misalnya buku-buku sekolahnya terbiar berselerakan di atas meja, baju sekolah dibiarkan bersepah di atas lantai, katil tidak berkemas dan sebagainya boleh menyebabkan orang lain yang memikul beban. Padahal perkara sumpama itu boleh diuruskan diri sendiri. Jika diri tidak berubah, dia pasti mendatangkan banyak masalah sama ada di sekolah, kolej atau tempat kerja kemudian hari.

3. Allah mengasihi orang yang rajin berusaha

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud. “Sesungguh Allah Taala mengasihi hamba-Nya yang Mukmin yang berusaha.” (Riwayat al-Tabrani)

Umat Islam sepatutnya adalah umat yang paling rajin dan akan bekerja keras, jika mereka benar-benar beriman kepada Allah dan mengikuti segala perintah-Nya. Mereka menjadi umat yang lebih banyak bertindak daripada banyak bercakap. Mereka rajin bekerja tanpa mencuri tulang. Selesai solat mereka akan terus bekerja sehingga masa ditetapkan.

Jika sifat rajin sebegini menjadi pakaian umat islam kini, tiada sesiapa berani menafikan hakikat umat Islam adalah umat yang terbaik.
Sifat malas atau membuang masa dengan melakukan hal-hal yang tidak berfaedah adalah bukti kurangnya iman. Jika anak-anak malas bekerja, malas menjaga menjaga kebersihan diri dan sebagainya menunjukkan kurang imannya. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu pupuk iman anak-anak, dengan sikap rajin dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Sifat rajin akan membuahkan kejayaan dalam hidup di dunia dan di akhirat.
dipetik dari majalah solusi..

2 comments:

Anonymous — August 14, 2010 at 11:23 PM said...

"Sifat rajin akan membuahkan kejayaan dalam hidup di dunia dan di akhirat."

Alhamdulillah. Menarik dan lengkap dengan ajakan yang penuh kelembutan. Jadi, jom jadi anak-anak yang rajin!! ^_^

Trackback by dayana August 14, 2010 at 11:48 PM said...

Aniza:

yup betul tu...kerajinan tu juga terletak pada diri sendiri..=)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...