Pesakit digalakkan meluahkan masalah kepada ahli keluarga, orang yang boleh dipercayai. Tekanan perasaan akibat masalah yang melanda bagaikan satu bebanan sehingga boleh menyebabkan berlakunya kemurungan. Apatah lagi dihimpit dengan pelbagai masalah dalam satu masa seperti rumah tangga, tempat kerja, emosi perhubungan dan sebagainya.
Baik wanita sudah berumah tangga, bujang, remaja mahupun kanak-kanak tidak terlepas daripada menanggung masalah yang akhirnya boleh menyebabkan kemurungan. Sekiranya tidak diatasi dengan baik, boleh memberi kesan buruk kepada diri, orang sekeliling dan masa depan mereka.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Yen Teck Hoe, berkata kemurungan berlaku akibat kesukaran pesakit untuk mengatasi sesuatu masalah khususnya yang membabitkan gangguan emosi.
"Tanda yang dapat dilihat ialah dengan kehadiran perasaan negatif seperti rasa bersalah, putus asa, rasa tidak dihargai malah ada juga menimbulkan rasa untuk membunuh diri. Selain itu, masalah fizikal yang ketara dapat dilihat ialah kesakitan kronik, sakit belakang, pening serta berlakunya gastrik. Ia perlu dibendung dengan cepat bagi mengelak daripada pelbagai masalah lain timbul,"katanya pada program Dialogues: Support 'N' Remission Impact (SNRI) di petaling Jaya, baru-baru ini.
Turut hadir, bekas Presiden MPA, Prof Dr Mohamad Hussain Habil dan Ketua Perhubungan Korporat dan Awam Wyeth Malaysia, Rohaya Mamat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar kematian (bunuh diri) akibat kemurungan di rantau Asia adalah lebih tinggi dengan nisbah kemurungan antara lelaki dan perempuan adalah satu nisbah dua. Kajian di Malaysia pula mendedahkan kira-kira sembilan peratus rakyat negara ini mengalami kemurungan tahap serius.
"Jalan penyelesaian untuk terus mengelak kemurungan ialah dengan cara meluahkan apa yang terbuku di hati atau berkomunikasi dengan orang lain yang boleh dipercayai. Itu adalah antara jalan terbaik untuk melegakan perasaan. Selain mendapatkan rawatan rundingan dengan doktor, mereka perlu berkomunikasi dengan orang tersayang."
"Luahan perasaan itu bpleh membantu meringankan beban yang ditanggung supaya sekurang-kurangnya mereka berasa sentiasa dihargai dan ada yang memahami masalah yang dihadapi. Ketiadaan komunikasi dua hala mampu menyebabkan masalah bertambah rumit. Hakikatnya, komunikasi adalah satu terapi yang penting sekali gus melegakan bebanan masalah pesakit. Selain menjalani sesi kaunseling, pesakit turut di beri ubat antikemurungan,"katanya.
Program dialog itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kemurungan yang boleh menyebabkan masalah lebih serius. Pada masa yang sama program itu juga diharap dapat mendidik dan menggalakkan doktor, keluarga pesakit dan rakan memberi sokongan padu kepada pesakit dengan adany sesi dialog berterusan.
Sementara itu, prof Mohamad Hussain pula berkata, kemurungan tidak boleh berterusan kerana menyukarkan proses perjalanan hidup seseorang wanita sama ada beliau bekerja ataupun tidak.
"Suami yang melihat si isteri mengalami kemurungan perlu membawa isteri menjalani rawatan sekurang-kurangnya memahi apa yang berlaku dengan komunikasi. Ini adalah kerana si isteri yang bekerja bukan saja bekerja di luar rumah, tetapi membabitkan urusan rumah tangga. Sekiranya tidak diatasi, masalah yang dihadapu akan menjadi lebih serius, sekali gus menjejaskan proses kehormonian keluarga,"katanya.
Beliau berkata, kanak-kanak juga mengalami kemurungan akibat kes seperti penderaan fizikal, seksual dan emosi. kes sebegitu juga perlu diambil perhatian kedua ibu bapa dan tidak menambah pelbagai beban lain.
"Biarpun kebanyakkan pesakit pulih selepas mendapatkan gabungan rawatan, kajian mendapati lebih 40 peratus pesakit menghentikan rawatan antikemurungan selepas tempoh 3 bulan. hal ini berlaku kerana kurangnya komunikasi, sokongan serta pemahaman terhadao kesan sampingan,"katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar penyakit berulang sejurus selepas rawatan atau beberapa tahun kemudian. Pada ketika inilah prorgam dialog memainkan peranan penting dalam memberi pengetahuan dan informasi berkaitan.
Info: Dialogue Support 'N' Remission Impact (SNRI)
sumber: Malaysia Psychiatric Association
bertarikh: 29 september 2008
0 comments:
Post a Comment